Scan QR
Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!

Pages

PILIHAN
Monday, March 25, 2013

No Comment
PM Umum Pewujudan Zon Selamat Sabah Timur


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan 10 daerah Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) yang berkuat kuasa hari ini bagi memelihara tanah berdaulat ini ekoran insiden pencerobohan baru-baru ini.
“Sepuluh daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau,” kata Najib ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Polis ke-206 di sini, hari ini.
Menurut Najib, pengisytiharan melibatkan 10 daerah ini membawa kepada penubuhan satu jawatankuasa menurut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh Menteri Dalam Negeri.
Beliau sendiri telah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962 dikuatkuasakan bagi memastikan keselamatan rakyat di Sabah terus terjamin.
Jawatankuasa ESSZONE akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, pegawai eksekutif termasuk ahli-ahli yang akan dimaklumkan kemudian.
Sementara Najib sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa pemantau.
Menurut Najib, berdasarkan kajian yang dilakukan, pihaknya mendapati punca utama kejadian pencerobohan pengganas yang berlaku di Lahad Datu ekoran kewujudan beberapa penempatan yang boleh dianggap mudah terdedah kepada bahaya penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin.
“Maka saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengadakan inisiatif penempatan semula penduduk yang tinggal di beberapa lokasi di kawasan Timur Sabah bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam,” ujarnya.
Jelas Najib, kerajaan juga akan memastikan mereka yang terlibat dalam penempatan semula ini akan dijamin kehidupan mereka menerusi sumber pendapatan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain keperluan yang disediakan di kawasan itu.
“Ini akan turut memberi manfaat mereka yang tinggal berhampiran.
“Bukan bermakna kawasan Sabah Barat dilupakan. Buat masa ini di kawasan Timur Sabah lebih mendesak,” jelas Najib sambil berkata, kawalan keselamatan di Timur Sabah akan diperketatkan dengan tambahan tujuh balai polis baru yang akan dibina.
Tegasnya, pengumuman yang dibuat beliau ini bukanlah pengisytiharan darurat dan ia tidak akan menjejaskan proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik,” ujar Najib di samping memberitahu, pelaksanaan ESSZONE tidak akan membawa pertambahan kepada kuasa polis.
Malah mana-mana pihak yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses perundangan.

0 comments:

Post a Comment

 
Siakap Keli